Sunday, January 24, 2010

SUKAN: Chong Wei impi kejuaran berganda

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei tidak berminat memikirkan tentang lawan yang bakal ditemui hari ini, sebaliknya jaguh No. 1 dunia itu hanya terbayang kejuaraan berganda pertama apabila turun menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, hari ini.

Malah, Malaysia turut berada di landasan terbaik untuk merangkul dua kejuaraan apabila juara 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, turut melangkah ke saingan akhir beregu lelaki.

Hanya seminggu selepas menjuarai Terbuka Korea, Chong Wei, meniti laluan untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut pada 2010, selepas mengetepikan lawan kental dari Vietnam, Nguyen Tien Minh 22-20, 21-11 pada separuh akhir semalam.

Ramalan awal bahawa dia akan bertemu jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade dalam perlawanan akhir, meleset selepas Boonsak mengejutkan Gade 11-21, 21-12, 21-16, pada satu lagi separuh akhir.

Kata Chong Wei, dia tidak pernah merangkul dua kejuaraan berturut-turut dan berharap untuk melakukannya di depan penonton sendiri hari ini, sekali gus menjadi ‘ang pau’ Tahun Baru Cina paling istimewa.

“Sebenarnya saya tidak kisah sama ada bertemu Peter atau Boonsak, kedua-dua pemain ini tidak banyak beza. ‘‘Saya kalahkan mereka pada Terbuka Korea minggu lalu, malah mereka juga pernah mengalahkan saya.

“Secara jujur, saya tidak fikir sangat tentang lawan saya. Dalam fikiran saya cuma fokus kepada permainan sendiri dan bersiap sedia mental serta fizikal. Keyakinan saya sangat tinggi hari ini, harap saya dapat merangkul kejuaraan berganda yang diharapkan,” kata Chong Wei.

Malah, selain mencari kejuaraan berganda pertama dalam kariernya, Chong Wei juga memburu kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali keenam selepas muncul juara pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Bagi Boonsak, Chong Wei adalah pemain yang lengkap dan terlalu handal untuk ditumbangkan, dan apa yang boleh dilakukannya hari ini adalah cuba memberikan yang terbaik.

Katanya, fizikal dan permainan jaguh Malaysia itu jauh lebih hebat ketika dia mengalahkan Chong Wei buat kali pertama pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Asia di Johor, dua tahun lalu, malah kata-kata Boonsak itu ada asasnya selepas dia disingkirkan oleh Chong Wei 14-21, 10-21 pada pertemuan terakhir mereka di Korea, minggu lalu.

“Saya tidak fikir banyak sangat bila bertemu Chong Wei. Dia pemain yang hampir sempurna, dia mampu menyerang dan bertahan dengan bagus, selain ada kepantasan, skil dan smash yang sempurna, apa yang boleh saya lakukan adalah mengurangkan kesilapan dan cuba memberikan yang terbaik esok.

“Ketika ini, Chong Wei terlalu handal untuk ditumbangkan. Kalau ada pun kekurangannya yang mungkin boleh saya gunakan, adalah dengan meningkatkan tekanan. Bermain di depan penonton sendiri dan menjadi sandaran utama sedikit sebanyak tentunya memberi tekanan kepada Chong Wei,” kata Boonsak.

Sementara itu Kien Keat-Boon Heong memilih jalan sukar untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas dipaksa berhempas pulas, hampir sejam ketika mengetepikan pasangan tidak ternama China, Chai Biao-Zhang Nan 21-19, 16-21, 21-15.

Kemenangan itu bakal menemukan mereka dengan satu lagi beregu China, Guo Zhendong-Xu Chen yang mara selepas menumpaskan Alvent Yulianto-Hendra Aprida Gunawan dari Indonesia 13-21, 21-13, 23-13.

Kien Keat mengakui, prestasinya dan Boon Heong semalam agak teruk, dan ia tidak boleh diulangi jika mahu merampas kembali kejuaraan Terbuka Malaysia yang kali terakhir diraih pada 2007.

Ulasan: Tahniah buat pemain badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei kerana telah berjaya merangkul kejayaan sekaligus mengharumkan negara Malaysia di mata dunia. Bercakap mengenai badminton, terfikir pula mengenai sukan dan kesihatan mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang..Adakah semuanya ok? Jom, kita bersukan dan beriadah..Badan sihat, senang nak fokus dalam kuliah, ye tak?

No comments:

Post a Comment